Harga @ Kos Menggunakan Khidmat REN / Ejen Hartanah

Imej: Google

Menggunakan khidmat REN dalam urusan jual beli hartanah sememangnya memudahkan semua pihak.

 

Anda bukan sahaja dapat menjimatkan masa namun boleh menjimatkan kos serta tenaga dalam setiap urusan jual beli hartanah.

 

Bagi urusan jual beli hartanah sedia-ada (Sub-sale) dan juga sewaan, terdapat sedikit kos yang perlu dikeluarkan oleh pemilik hartanah bagi menggunakan khidmat mereka.

 

Untuk pembelian projek dalam pembinaan (Under-con), anda tidak perlu membayar sebarang kos untuk khidmat REN kerana semuanya ditanggung oleh pihak pemaju (Developer).

Imej: Deretan unit teres di Johor Bharu

 

Kos Bagi Khidmat Jual-Beli Sub-Sale.

 

Secara asasnya kadar maksimum yang boleh dikenakan oleh seorang REN dalam setiap urusan jual-beli hartanah adalah sebanyak 3% daripada harga jualan yang dipersetujui (tidak termasuk cukai GST -Goods and Service Tax). Jika dimasukkan dengan kadar GST, kadar keseluruhannya adalah 3.18%.

 

Harga jualan yang dipersetujui adalah merupakan harga yang disepakati oleh dua pihak; pembeli dan penjual – setelah tawar menawar dilakukan. Harga ini merupakan harga yang akan ditetapkan dalam S&P (Sale and Purchase Agreement).

 

Kiraanya adalah seperti ini:

 

Katakan anda bersetuju untuk menjual hartanah anda pada harga RM300,000.00; setelah tawar menawar berlaku.

 

Jadi,

 

Upah maksima adalah pada kadar 3%, kadar GST adalah 6% daripada nilai 3% tersebut = 0.18%. Jumlah yang maksima yang boleh dikenakan adalah 3.18%.

 

Harga jualan hartanah = RM 300,000,00.

Kos upah maksima yang dikenakan (termasuk GST) adalah:

RM 300,000.00 X 3.18% = RM 9,540

 

Namun begitu, pemilik tidak perlu membuat sebarang pembayaran dahulu. Pembayaran hanya akan diambil selepas REN berjaya mendapatkan pembeli bagi hartanah anda.

 

Kebiasaanya, pihak penjual/pemilik hartanah tidak akan mengeluarkan sebarang wang sendiri untuk pembayaran ini kerana REN akan cuba mendapatkan bayaran tersebut daripada pihak pembeli.

 

Bayaran ini juga dianggap sebagai tanda jadi (Booking Fees) untuk urusan jual beli hartanah.

 

Booking Fees diambil dalam urusan jual-beli hartanah ini supaya REN serta pemilik hartanah dapat memastikan bahawa pembeli tersebut benar-benar serius dalam urusan jual-beli tersebut.

 

Namun begitu, bergantung kepada pihak penjual, sekiranya mereka tidak meminta sebarang bayaran pendahuluan (selalunya 10%) daripada pihak pembeli, mereka akan mengeluarkan duit mereka bagi membayar kos ini.

 

Kos Bagi Khidmat Sewaan Hartanah.

 

Kadar sewaan yang dikenakan bagi urusan sewaan adalah bergantung kepada tempoh penyewaan hartanah tersebut.

 

Kebiasaannya, REN akan mengenakan kadar seperti berikut:

 

  • 1 Bulan hingga 3 Tahun = 1 1/4 bulan daripada harga sewaan

 

  • 3 Tahun 1 Bulan hingga 4 Tahun = 1 1/2 bulan daripada harga sewaan

 

  • 4 Tahun 1 Bulan hingga 5 Tahun = 1 3/4 bulan daripada harga sewaan

 

  • 5 Tahun 1 Bulan dan keatas tanpa pilihan pembaharuan sewaan (without renewal option) = 1 3/4 bulan daripada harga sewaan

 

  • 5 Tahun 1 Bulan dan keatas dengan pilihan pembaharuan sewaan (with renewal option) = 1 3/4 + 1/4 (bagi setiap pertambahan tahun) daripada harga sewaan.

 

Sebagai contoh:

Katakan harga sewaan bulanan bagi unit hartanah A = RM1,200/month.

 

Situasi 1: Penyewa ingin menyewa selama 1 Tahun sahaja

 

Jadi upah yang dikenakan adalah = 1 1/4 bulan

 

RM 1,200 X 1 1/4  = Rm1500

 

Situasi 2: Penyewa ingin menyewa selama 7 Tahun dengan pilihan untuk menyambung kontrak

 

Jadi upah yang dikenakan adalah:

 

5 Tahun pertama = 1 3/4 Bulan

 

2 Tahun yang berikutnya = 1/4 Bulan X 2 = 2/4

 

Kadar keseluruhan = 1 3/4 Bulan + 2/4 Bulan = 2 1/4 Bulan

 

Jadi upah keseluruhan adalah:

 

Rm 1,200 Sebulan  X 2 1/4 Bulan = RM 2700

 

Walaubagaimanapun, kadar ini masih boleh dirunding (Negotiable) dengan REN anda. Cubalah berbincang dengan mereka berkaitan kadar sewaan ini.

 

Kesimpulan

 

Dengan mengetahui kadar yang boleh dikenakan oleh REN kepada anda, anda dapat mengelakkan diri daripada ditipu oleh pihak lain yang menyamar sebagai REN ; Con-man / Broker hartanah.

 

Mereka ini akan meminta dan mengambil kesempatan terhadap anda dengan mengenakan kos servis yang tinggi dan keterlaluan.

 

Apa yang lebih malang, ada yang terus lesap selepas mereka mendapat duit yang diberikan oleh anda.

 

Semoga perkongsian kali ini dapat menjelaskan kepada anda kos yang akan dikenakan kepada anda jika menggunakan khidmat REN.

 

Kos yang dikenakan ini pada saya adalah berpatutan kerana anda dapat menjimatkan masa, tenaga dan juga kos untuk sebarang urusan jual beli hartanah.

 

Apakah tugas REN? Klik SINI