Mengesan REN Penipu

imej: conman – google

Sejak kebelakangan ini, banyak laporan polis dimana mereka menyatakan menjadi mangsa Ejen Hartanah (REN). Sebenarnya, mereka bukanlah seorang REN tetapi adalah penipu yang menyamar sebagai REN atau dikenali sebagai Broker.

 

Broker merupakan seorang individu yang menjalankan urusan jual-beli hartanah namun tidak bernaung dibawah agensi yang berdaftar. Ini bermakna mereka tiada langsung rekod dan kelulusan oleh BOVEA.

 

Dengan kejadian yang begitu banyak saban tahun, pihak kerajaan dibawah BOVEA telah melancarkan kempen anti C.A.M.P bagi mendidik orang awam mengesan penipu ini.

 

Apa itu C.A.M.P?

 

C.A.M.P merupakan singkatan bagi perkataan:

 

C = Cheating

Penyamar ini akan bertindak secara tidak jujur dan keterlaluan dalam mengambil kesempatan terhadap mangsa. Secara contoh, mereka akan meminta bayaran pendahuluan bagi menggunakan khidmat mereka dan menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Jika mereka menyelesaikan urusan tersebut, mereka akan mendesak mangsa untuk membayar upah mereka yang tinggi lebih daripada ketetapan maksimum yang dibolehkan.

 

A = Absconding

Sebenarnya, REN tidak boleh mengambil sebarang duit pendahuluan bagi tugas mereka sehinggalah berjaya mendapatkan pembeli. Namun individu ini akan meminta bayaran awal atau sebahagian daripadanya. Kemudian, mereka akan menghilangkan diri tanpa menyelesaikan tugas mereka.

 

M = Misintepration

Bagi menjual hartanah yang ada dengan cepat, mereka akan memberikan maklumat-maklumat palsu dan merahsiakan perkara yang sepatutnya berkaitan dengan hartanah tersebut kepada pembeli yang berminat. Sebagai contoh, mereka tidak menyatakan status geran hartanah tersebut kepada pembeli (cuba anda bayangkan, anda sudah membuat bayaran dan menandatangani S&P dan selepas itu barulah anda mengetahui bahawa geran tersebut tidak dapat ditukar milik lagi; -mungkin memakan masa beberapa tahun / puluhan tahun kerana geran tersebut masih lagi berstatus Master title dimana pemaju projek tersebut telah Bankrupt).

 

P = Profiteering

Individu ini juga mungkin akan mengambil kadar upah yang berlebihan dengan mengatakan tidak perlu membuat bayaran guaman lagi, kerana mereka mendakwa akan menyelesaikan urusan dokumen guaman dan sebagainya. Anda perlu tahu, apa-apa urusan guaman haruslah diuruskan oleh pihak peguam yang dilantik bukannya oleh individu ini. Hasilnya, urusan jual-beli hartanah anda akan tergendala malahan tidak dapat dilaksanakan langsung walaupun anda telah mengeluarkan banyak kos.

 

Akta Perundangan Kes Melibatkan Broker

 

Tahukah anda bahawa, dibawah Seksyen 30, Akta 1981 – Penilaian, Pentaksiran dan Ejen Hartanah, individu yang terlibat dalam kegiatan ini boleh dituduh dan dijatuhkan hukuman saman RM300,000.00 / 3 tahun penjara / kedua-duanya sekali.

 

Bagi mengelakkan lebih ramai orang awam daripada menjadi mangsa, jika anda tahu mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan ini, anda haruslah melaporkan kepada pihak berkuasa.

 

Bagaimana Untuk Mengenal REN Yang Sah?

 

Terdapat beberapa ciri dan tanda pengenalan yang harus ada pada seseorang REN. Antaranya adalah REN TAG.

 

REN TAG merupakan satu tag kuasa yang menunjukkan bahawa mereka adalah seorang ejen hartanah yang sah dan bernaung dibawah agensi hartanah yang berlesen.

 

Ciri-ciri yang jelas dapat dilihat pada REN Tag adalah:

 

Warna TAG

 

REN TAG mempunyai 2 warna. setiap warna menunjukkan posisi yang berbeza iaitu merah dan biru.

 

REN TAG yang berwarna merah menunjukkan bahawa REN tersebut merupakan Ejen Hartanah atau Ejen Hartanah Percubaan dalam sesuatu agensi. Mereka ini lebih menguruskan urusan pentadbiran agensi hartanah.

 

REN TAG yang berwarna biru pula menunjukkan REN tersebut adalah Perunding Hartanah yang membantu pembeli dan penjual dalam urusan jual-beli hartanah. Kebiasaannya anda akan berurusan dengan REN yang bertag Biru.

 

Kod QR

 

REN TAG ini mempunyai satu kod QR yang anda boleh imbas dengan smartfon andauntuk mengesahkan dan menyemak status individu tersebut dalam rekod BOVEA.

 

Nama Agensi

 

Terdapat maklumat agensi hartanah yang seseorang REN tersebut berkhidmat pada REN TAG tersebut. Sekiranya individu tersebut mendakwa sudah bertukar agensi dengan berkhidmat dengan agensi baharu, agensi baharu akan membekalkan REN TAG baharu kepadanya.

Anda boleh menghubungi agensi hartanah tersebut bagi mendapatkan kepastian tentang statusnya sama ada individu tersebut merepuakan seoran REN atau sebaliknya.

 

Nama REN

 

Terdapat 2 jenis nama yang akan dicetak pada REN TAG, iaitu nama panggilan semasa menjalankan tugas dan juga nama penuh seperti kad pengenalannya. Oleh itu anda boleh menyemak adakah REN TAG tersebut benar-benar miliknya.

 

Nombor REN

 

Setiap REN akan mempunyai nombior masing-masing. Nombor ini akan digunakan dalam sebarang urusan yang melibatkan jual-beli hartanah.

Anda boleh menyemak nombor ini pada laman web BOVEA bagi melihat rekod REN tersebut sama ada mempunyai kes aduan lampau atau tidak. Ren yang baik akan sentiasa memastikan dirinya mempunyai rekod yang bersih.

 

Hologram

 

Pada bahagian TAG tersebut terdapat satu logo hologram BOVEA bagi meengelakkan daripada terjadinya kes pemalsuan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

imej: contoh RENTAG seseorang REN

REN Yang Sah Namun Tidak Memiliki REN TAG? – Penipu @ Bukan?

 

Terdapat juga setiap kali anda membuat urusan hartanah, ada dalam kalangan REN yang anda berurusan tidak memiliki REN TAG, namun mendakwa mereka adalah sah untuk melaksanakan urusan jual-beli hartanah.

Sebenarnya mereka ini memang berdaftar dengan agensi hartanah walaupun tidak memiliki REN TAG. Mereka berkemungkinan merupakan REN yang bekerja secara Part-Timer atau mungkin merupakan REN yang baru berkhidmat dengan agensi hartanah.

 

Bagaimana untuk memastikan mereka benar-benar sah?

 

Cara yang paling mudah dan boleh dipercayai adalah dengan melihat pada kad perniagaan (Business Card) mereka. Pada kad tersebut sepatutnya akan dicetak agensi hartanah yang mereka bekerja. Anda boleh menghubungi agensi tersebut bagi bertanyakan status individu itu bagi mendapatkan pengesahan. MUDAH bukan?

imej: Business Card REN

 

Kesimpulan

 

Anda sudah mengetahui bagaimana untuk mengesahkan seseorang individu tersebut merupakan seorang REN yang sah atau tidak. Walaupun tidak mempunyai REN TAG, mereka pun boleh jadi individu yang sah untuk menguruskan urusan jual-beli hartanah.

Apa yang penting anda harus menyemak status mereka terlebih dahulu bagi mengelakkan daripada diambil kesempatan dan ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab.